Dari hati, sampai ke hati. :)

Photobucket

Malu brtanya sEsAt jalaN.....

ukhwahfiLlah..^_^

Wednesday, October 30, 2013

kadang-kadang..

kadang2,aku punya cita..
punya rasa jua jiwa..
rasa apa?jiwa bagaimana?
entah..terkadang sesat juga aku dalam pencarian,
dalam menuju cinta Tuhan,tak sesenang yang dibayangkan..

kadang2,rasa itu aku simpan..
cukup hanya aku,hati dan Tuhan..
tertanya juga..
sampai bila aku akan bersedia bertemu arRahman?...
andai yang dibawa hanya sedikit bekalan..

diterimakah selama ini amalan?atau aku hanya letih badan..kerana entah ke mana ikhlas dalam perasaan..di mana dunia?dalam hati atau dalam genggaman tangan..AllahuRabbi.....
 
bicara elya : throwback status fb setahun lalu. namun masih lagi kadang-kadang, rasa itu mendatang. :')

Sunday, October 27, 2013

Untuk mereka,

 
Untuk mereka,
Saudara ku tercinta.

Sungguh ku hilang kata,
Melihatkan senjata diacu atasmu di kepala,
Matamu memandang tajam, berkaca....
Dan aku masih di sini, riang bercanda.

Untuk mereka,
Saudaraku tercinta.

Entah hanya di bibir sahaja ungkapan cinta,
Sedang ku berpeluk tubuh berdiam sahaja,
Rumahmu diroboh musuh durjana,
Ayahmu dikau tak tahu di mana, mungkin juga sudah di syurga.

Untuk mereka,
Saudaraku tercinta.

Ku ingin melihat burung merpati putih itu bebas,
Si helang itu terbang menggagah di langit tinggi,
AlQuds itu kembali diimarah si kecil mahupun si bongkok berusia,
Mentari menyinar terang membasahi senyum ibu si tua.

Sungguh,
Keinginanmu itu melebihi segala,
Akan ku usaha apa yang terdaya,
Walau sekecil zarah cuma.

Duhai saudaraku tercinta,
Moga kita bertemu lagi di syurga,
Moga Allah izinkan untuk kita semua,
Syahid menjadi pakaian saat maut menjelma
 
:')
 
Bicara elya : Saudaraku, maafkan diri yang hina.

Monday, October 21, 2013

a flower :)


Thursday, October 17, 2013

Pesan mereka.


Pesan abah,
"Peluang dakwah oleh para doktor sangat luas dll...... Jangan relax-relax sangat. Study betul-betul, insyaAllah Allah tolong."

Pesan murabbi,
"Tanya balik diri apa prioriti kita. Ingat, dakwah nombor satu tapi study bukan nombor dua. Perlu pandai seimbangkan."

Pesan sahabat,
"Bukan pengorbanan namanya kalau diri tak terkorban."
"Pengorbanan itu bukti cinta."

Benarlah,
Telah berlalu masa relax,
Telah berlalu masa rehat.

Masih banyak kerja,
Perlu bergerak dengan lebih segera,
Moga Allah permudah dan pengorbanan diterima.

Bicara elya : Mohon doanya, untuk semua. InsyaAllah. :')

Friday, October 11, 2013

Debu kecil itu..

BismiLlah.
Assalamualaikum wa salam mahabbah.

Menjadi debu kecil untuk membina satu mahligai yang besar. Mana mungkin satu tamadun terbina tanpa struktur. Tanpa batu bata manakan struktur itu terteguh. Dan bata itu sendiri terhasil dari debu-debu kecil.

Mungkin kadang-kadang kita terfikir,
'layak lah aku untuk melakukan hal ini dan hal itu?'
'Mampukah aku untuk berjuang dan menempuh segala liku?'
'Usaha sekecil ini untuk membangun Islam seakannya tidak perlu..'

Tapi kita terlupa,di sebalik jayanya Sultan Muhammad alFateh membuka konstatinopel itu ada tentera-tentera yang setiap hela nafas berbakti. Di belakang Sultan Salahuddin ada ibu-ibu yang menyumbang tenaga menyediakan makanan dan merawat sesiapa yang luka.

Terlupakah kita pada kisah burung kecil yang menyudu air bagi memadamkan api marak menyala yang di dalamnya berada Nabi Ibrahim? apabila ditanya kenapa,jawabnya 'mungkin air ini tak mampu memadamkan api itu. Namun sekurang-kurangnya aku sudah berusaha dan punya jawapan andai ditanya Allah suatu hari nanti..'

Senyum, tanya khabar, berzikir. Walhal setiap sendi yang mengutip sampah juga bakal dikira. Kerana firmanNya,

   "Sesiapa yang mengerjakan kebaikan walau sebesar zarah, nescaya dia akan melihat (balasan)nya. Dan sesiapa yang mengerjakan kejahatan walau sebesar zarah, nescaya dia kan melihat (balasan)nya pula". (Surah al-Zalzalah 99:7-8)

Tapi andai berkeyakinan dan punya keupayaan, apa salahnya andai kita ke hadapan mengantikan Sultan Salahuddin dan alFateh membebaskan bumi alAqsa dan Syria. Apa salahnya andai kita membina impian tinggi ke Firdausi. Apa salahnya andai kita berusaha luar biasa demi syurga yang luar biasa juga indahnya. Tak salah kan? ;)

Usahalah.
Allah hitung.
Yakin.
 
Bicara elya : biar kecil-kecil cili padi, besar-besar sumbang banyak budi sebagai khalifah bumi. InsyaAllah. :)

Monday, October 7, 2013

Mereka - srikandi Islam

Srikandi Islam,
Seanggun Aisyah,seunggul Khaulah..

Berada si sekeliling srikandi ini,
Hati meronta hebat,
Mereka telah terlalu laju berlari,
Demi redha Ilahi..


Tuhan,
Aku hanya hamba hina,
Tak punya apa,
Hanya sekeping hati yang tak seberapa,
Amal yang tak menggunung harta..

Aku citakan syurga,
Namun langkah ku baru beberapa,
Andai esok aku pejam mata selamanya,
Hanya redhaMu yang ku pinta..

Izinkan ya Allah,untuk aku merasai indahnya cinta..
Cinta hanya padaMu Yang Esa.. :')

Bicara elya : seindah perhiasan adalah wanita solehah.. :)

Saturday, October 5, 2013

Orang Melayu tak semestinya layu! :)

BismiLlah.

Anda,
Tak perlu pegang senjata,
Tak perlu turun medan perang,
Andai ada kesempatan, usahakanlah.

Tahap kita,
Bentuk peribadi kita. Bentuk zuriat-zuriat kita. Bentuk diri mempersiapkan ilmu dalam dada. Didik diri, keluarga, sahabat, anak-anak dan masyarakat untuk menjiwai Islam. Jangan biarkan ada yang mempengaruhi anda yang orang Melayu ini, orang nusantara ini lemah dan layu! Kita kuat sebenarnya.

Kita punya ruh luar biasa andai disiram dengan iman. Gembleng ilmu dan majulah ke hadapan. Masih punya harapan untuk Ummah. Bersandarlah harapan pada Tuhan dan jangan putus asa. Syurga itu muat untuk kita semua!

"Allah tidak akan mensia-siakan amalan setiap hamba lelaki dan wanita yang beriman kepadaNya." [ali-Imran : 195]

Takkan pernah sia-sia duhai sahabat. Yakinlah yang Allah kira setiap lelah menahan mata dari mengantuk menuntut ilmu, setiap saat masa yang anda jual demi menjadi mahar syurga, setiap penat langkah kaki dalam medan juang. Allah kira, tak sia-sia.

Buktikan Melayu itu tak layu! Lebih penting, buktikan Muslim itu yang bakal menggoncang dunia dengan ketaqwaan dan menyebarkan bayu keamanan. Membawa risalah alQuran di setiap penjuru alam, hingga  langkah kita benar-benar sudah berada dalam Jannah dan redha Tuhan.

Bicara elya : sudah berlalulah masa rehat kita. Masa untuk kita bekerja. InsyaAllah. :)

Thursday, October 3, 2013

Penat?

BismiLlah.

Penat?
Letih?
Tenat?

AllahuRabbi. Penat itu kekuatan yang luar biasa. Letih itu kemanisan yang luar biasa. Tenat itu peringatan yang luar biasa. Luar biasa ganjarannya jika kita curahkan segala rasa itu pada jalan agama. Demi redha Yang Esa. Sungguh!

Hidup ni satu permainan. Bermainlah mengikut syarat. Entah esok atau lusa kita bakal pergi meninggalkan bumi. Andai benar syurga itu maharnya amal, mungkin diri hina akhir zaman ini akan angkat tangan awal-awal menyerah kalah. Menaikkan 'bendera putih'. Bukan kerana apa, kerana terlalu jauh beza amal para sahabat dan ulama' dulu.

Masih punya ruangkah untuk insan yang beramal hanya secebis debu?Allahu.

Tapi rahmatNya luas. Cinta Dia tiada sempadan. Carilah kekuatan perjuangan dengan mengingati Tuhan. Biar penat dan segala titis peluh letih itu Allah kira, Allah hitung.

InsyaAllah..

Bicara elya : Berusahalah. Demi redhaNya dan syurga yang sedang menunggu dengan penuh rindu. :')

Wednesday, October 2, 2013

I vs i

BismiLlah..
assalamualaikum wa salam mahabbah..

Asas kita waktu belajar bahasa Melayu waktu sekolah dulu ada dua kan?kalau salah tolong betulkan.. :)

Kita ada kata nama khas dan kata nama am..kata nama khas merujuk pada nama orang,nama tempat yang spesifik,nama buku dan semua yang sewaktu dengannya..kata nama am pula merujuk pada kata kerja,kata sifat dan apa-apa yang menyerupainya..

So??

Anda Islam atau islam?

Sekadar nama di ic atau bergerak membawa nama..
Sekadar kata nama khas atau kata kerja yang membimbing kehidupan..
Sekadar I besar yang hanya mengaku 'ya,saya Islam', tapi tidak membawa ruh Islam itu..

Atau anda seorang yang islam sehingga menjiwai agama syumul ini dengan sepenuh hati,hingga bekerja keranaNya hingga ke syurga.?

Bicara elya : moga2 kita ini Islam yang menjadi islam dari setiap detikan hati,perkataan atau perbuatan..insyaAllah.. :)


Sunday, September 8, 2013

Tekno.

Assalamualaikum wa Salam mahabbah..

Dunia sekarang dunia teknologi..Dan pada setiap perkara ada baik buruknya..macam-macam boleh dapat..tinggal diri sendiri juga iman untuk memandu segala rentak jari di papan kekunci..

Baca.
Nilai.
Fikir.

Ada hidup yang lebih abadi di sana..

Bicara elya : moga Allah tuntun..insyaAllah.. :)

Saturday, September 7, 2013

kupu-kupu itu..

dan kupu-kupu itu,
biarkan ia terbang pergi,
bebas menuju Rabbi..

kupu-kupu itu,
rapuh sayapnya,
perlukan kekuatan,
mohon doa untuk ia terus tabah menyeri dunia,
walau dalam hatinya punya luka..

dan kupu-kupu itu,
biarkan ia terbang pergi,
terbang tinggi menuju cinta Ilahi..

AllahuRabbi..

Wednesday, September 4, 2013

kisah ubi dan suasana..

Assalamualaikum wa salam mahabbah..

satu hari,
potong ubi.

'mi,kalau dekat jordan ni takde ubi kecik-kecik macam ni..besar tiga kali ganda semua..huhu..'

'ye ke..nak buat macam mana,orang dia pun besar-besar..'

*gen orang Arab tinggi-tinggi dan besar-besar..

--------

err..

saiz ubi pun ikut bi'ah (suasana)..
manusia?

sebab tu dalam kebanyakan wasiat para ulama-ulama dan imam menekankan soal dengan siapa kita berkawan,atau macam mana suasana kita berada..bahkan Tuhan sendiri berpesan,

“Dan bersabarlah kamu bersama-sama dengan orang-orang yang menyeru Tuhannya di pagi dan senja hari dengan mengharap keridaan-Nya; dan janganlah kedua matamu berpaling dari mereka (karena) mengharapkan perhiasan kehidupan dunia ini; dan janganlah kamu mengikuti orang yang hatinya telah Kami lalaikan dari mengingati Kami, serta menuruti hawa nafsunya dan adalah keadaannya itu melewati batas.” [Al-Kahfi (18) : 28].


menyelamlah anda dalam lautan suasana yang mendekat pada Tuhan,
kemudian bawalah mutiara-mutiara akhlak dan ilmu itu pada mereka-mereka sekalian,
hingga sampai kita semua tersenyum riang bertemu arRahman,
pada hari sana,hari penghisaban..

tengok dengan siapa kita berada,itulah kita..

"...Dan berpeganglah kamu dengan jemaah, sesungguhnya serigala memakan kambing yang keluar dari kumpulannya."
[Hasan Sahih, diriwayatkan oleh Imam Abu Daud]


kerana manusia yang untung itu adalah yang saling mngingatkan dengan penuh kebenaran dan kesabaran..dan sungguh,peringatan itu bermanfaat bagi orang-orang beriman..

pandang kanan. padang kiri.
pandang depan. pandang belakang.

kalau bukan mereka yang ajak anda menuju syurga,maka andalah yang perlu tarik tangan sambil kata,'saya nak guling-guling lagi dekat taman bunga warna-warni Jannah sambil tengok bintang sama-sama..jom!!' sambil buat muka 20 sen.. ^^'

moga-moga Tuhan pegang hati-hati kita,supaya sentiasa kita berada dalam kalangan insan yang dicintaNya..dan membawa kita lebih dekat pada redhaNya..insyaAllah..a nice day with ubi.. :)


kalau 'ubi' dikelilingi dengan 'ubi-ubi' yang penuh bahagia,insyaAllah 'ubi' pun bahagia sekali.. ;)
bicara elya : jangan kalah dengan ubi! ^^

Tuesday, September 3, 2013

mereka.

teringat mereka.
terasa sengatan manis ukhwah yang berbisa.

terima kasih kerna mengoyak alpa,
dan menghumban kembali diri pada jalanNya.
masih banyak kerja.

mana mungkin kita sama.
jalan kita tak serupa.
yang menemukan kita,
Dia,Perancang penuh cinta.

anda pula,mungkin kita tak pernah bersua mata.
ikat hati kita dengan namaNya.
mungkin,kita akan bercanda ria,

di syurga sana. :)

insyaAllah.

bicara elya : moga dalam rahmatNya sentiasa.. :')

Sunday, September 1, 2013

'itulah Dia Tuhanku!'

Indahnya kata-kata daripada Almarhum Syeikh Al-Tantawi:

لَا يَلْزَمُ أَنْ تَكُوْنَ وَسِيْما لِتَكُوْنَ جَمِيْل
Kau tidak perlu berwajah cantik untuk dikatakan sebagai seorang yang cantik

ولا مداحا لتكون محبوبا
Dan tidak perlu memuji-muji kerana mahu menjadi seorang yang disukai

ولا غنيا لتكون سعيدا
Tidak perlu menjadi kaya untuk menjadi seorang yang bahagia...

يكفي أن ترضي ربك وهو سيجعلك عند الناس جميلا و محبوبا و سعيدا
Cukuplah dengan membuatkan Tuhanmu redha dan kasih kepadamu, pasti Dia akan menjadikanmu cantik dan indah di mata manusia, disukai dan disenangi oleh semua, serta hidup bahagia

لو أصبت 99 وأخطأت مرة واحدة
Andai kau lakukan 99 kebaikan, tetapi terbuat silap sekali

لعاتبوك بالواحدة وتركوا ال99
Manusia akan menyalahkanmu dengan kesilapan yang satu itu, dan melupakan semua 99 kebaikan yang lain

!هؤلاء هم البشر
Itulah hakikat manusia!

و لو أخطأت 99 مرة وأصبت مرة
Tetapi andainya kau lakukan 99 kesilapan, dan cuma sekali melakukan perkara kebaikan

لـغفر الله ال 99 وقبل الواحدة
Allah akan ampun semua 99 kesilapanmu dan menerima amal baktimu yang satu itu

ذاك هو ربي
Itulah Dia Tuhanku!
 
bicara elya - :')

Friday, August 16, 2013

Asmaa' Hisham Saqr - bidadari dunia berangkat ke syurga :')

KAHERAH, 15 Ogos – Anak perempuan pemimpin Ikhwan, Asmaa Hisham Saqr telah menemui syahid setelah ditembak di kepala oleh penembak tepat ketika sedang berada di tingkat 4 Hospital Medan, sebelah Masjid Rabiatul Adawiyah semalam.

Asmaa’ merupakan antara ratusan yang menjadi mangsa kekejaman pihak pasukan keselamatan Mesir yang menyerang rakyat atas alasan mahu menyuraikan perhimpunan pro Morsi.

Turut terkorban wartawan yang sedang membuat liputan, wanita dan kanak-kanak.

Berikut adalah kenyataan Dr Hisham Saqr yang terkini berkenaan kesyahidan anak sulungnya itu.

“Dia membenarkan janjinya dengan tuhannya… maka tuhannya membenarkan janjiNya dengannya.

Kita mengharapkan begitu tetapi kita tidak mensucikan sesiapa melebihi kesucian kpd Allah swt.

Puteriku yang cantik Asmaa ummu Rahmah dan Yahya telah terpilih menjadi syahidah semalam dari peluru yang ditembak oleh pembunuh tepat yang kejam, ditembak kepadanya sedangkan sepatutnya ditembak kepada Yahudi dan musuh-musuh Mesir.

Aku menjadi saksi bahawa Asmaa’ selalu mengharapkan shahadah dan selalu berkata “Aku mahu pergi menuju tuhanku”.

Asmaa’ pernah bermimpi selepas syahidnya mujahid Said Siyam (Menteri Hamas di Gaza), beliau berkata kepada Asmaa’ “Mari bersamaku”, lalu Asmaa’ mahu mengikuti beliau, tetapi dihalang oleh ibunya dan suaminya. Mereka berkata kepada Asmaa’ “Bukan sekarang Asmaa’, lain kali.”

Asmaa’ sentiasa mengikati mimpinya sehinggalah ketika ini, Asmaa’ berkata “inilah waktunya!”

Asmaa’ menidurkan kedua anaknya sebelum bergerak ke Medan Raba’ah pada malam hari. Aku berkata padanya “Berpada-padalah turun ke medan. Kau masih ada anak-anak kecil yang perlukan kau”.

Asmaa’ lantas membalas “Adakah aku patut menyia-nyiakan peluang untuk syahid semata-mata kerana anak-anak?!”

Suaminya, Essam mengetahui bahawa Asmaa’ sangat mahukan syahadah. Essam berkata “Apabila aku terkena tembakan di kaki, aku turut membawanya ke hospital, dan aku tidak meninggalkannya walau seketika, kerana aku tahu Asmaa’ sangat rindukan syahadah. Sampai di tingkat 4 hospital Raba’ah, ketika aku dan Asmaa’ terduduk di lantai menunggu rawatan, Asmaa’ terkena tembakan di kepala dan syahid serta-merta”.

Aku menyangka Asmaa’ berada berdekatan dengan tingkap, yang memudahkannya terkena peluru yang ditembak ke arah hospital, tetapi Essam mmberitahu bahawa antara tingkap dan Asmaa’ terdapat 3 orang wanita yang sama-sama juga menunggu.

Aku bertanya lagi, adakah peluru datang dari arah atas, Essam menjawab beliau tidak tahu. Yang beliau pasti ialah peluru tersebut memang ditujukan khusus kepada Asmaa’.

Semoga Allah merahmatinya dengan rahmatNya yang luas, dan tergolong dalam golongan yang diberikan syafaat di hari Qiamat, dan semoga kami dapat mengikuti jejak langkah Asmaa’ dan bersama para solihin.

Ya Allah timpakanlah balasanmu kepada musuh-musuhMu dan mereka yang berlaku zalim dan melampaui batas.”

Dr. Hisham Sakr
Pimpinan Ikhwan


.
 
bicara elya : subhanaLlah..janji Tuhan sudah pasti buatmu..kami,kaki masih takut-takut tergelincir terjunam ke neraka dari menuju pintu syurgawi..AllahuRabbi..


Wednesday, August 14, 2013

berjuang, ertinya terkorban..

Assalamualaikum wa salam mahabbah..

dunia.

entah.
tak faham.

akhir zaman..

semalam,melihat video seorang suami memukul isteri di hadapan anak-anak di malaysia..hari ni naik banyak post tentang keadaan kritikal di mesir..

jiwa mana yang tak meronta,
batin mana yang tak menjerit?
AllahuAllah..

sedang ada saudara yang mempertahankan tauhid dan Islam, pemuda-pemudi kita terus dikuasai nafsu..mungkin mereka silap..ya..dan jangan lupa,kita yang mengatakan mereka silap juga silap..

selalu menyalahkan orang..tapi tak pernah berusaha membetulkan apa yang salah..maka yang salah akan terus salah tanpa ada yang sudi menunjukkan jalan betul..nastaghfiruLlah..

pukul isteri,
rogol anak,
lari rumah,
pukul emak,
dll...........

sekarang semuanya bukan lagi satu cerekarama,semuanya drama realiti yang nyata..melihat keadaan Mesir dan negara sekelilingnya,ramai yang cemburu..termasuk diri sendiri..cemburu untuk mengikut jejak langkah sebagai syahid syahidah..perasaan itu,hanya Tuhan Yang Tahu..

tapi ketahuilah duhai pemuda pemudi dirindukan syurga,kita juga sedang diuji..


Allah tempatkan kita di satu-satu tempat bukan sia-sia..perancangannya selalu penuh cinta..mungkin kita tak mampu menghadapi apa yang sedang saudara di sana hadapi..Ilahi lebih mengetahui kemampuan hambaNya..lantas Allah campakkan kita dalam keluarga sekarang untuk mengislahkan mereka,dalam masyarakat sekarang untuk memperbaiki apa yang mampu,dalam keadaan sekarang supaya terus sabar dan istiqamah menyebar risalah Islami..

AllahuRabbi..

Berjuang, ertinya terkorban

perjuangan mereka dibayar dengan nyawa..dan perjuangan kita,perlu korbankan hanya secebis tenaga,sekelumit daya,sedikit rasa, duit dan masa..

mungkin kita bukan di saf hadapan mengangkat senjata,sekurang-kurangnya tetapkanlah hati dan kaki dalam mujahadah ni walaupun dalam benteng terakhir..AllahuAkbar!

_______
Sila-sila like page ni untuk cakna dengan saudara-saudara kita di Mesir..
Tembak doa..
Islah diri. Islah umat.

bicara elya : terlalu kecil pengorbanan,terasa hina..namun berkorbanlah,moga dihitung disisi Dia..insyaAllah..

Sunday, August 4, 2013

telah berlalu masa rehatku..

Telah berlalu masa rehatku.

saat ibu di Palestin memberi senyuman terakhir,yang indahnya tak seperti selalu,
menghantar anaknya untuk syahid di medan jihad..

saat seorang rijal Syria dihujani peluru,
demi menyelamatkan maruah seorang muslimah yang diperkosa,terpaku membisu..

saat si anak kecil somalia meragut rumput,
kerana sudah keringnya susu si ibu..

_____

sedang di hujung sana,

ada si ibu melambai riang di muka pintu,melihat anaknya membonceng dengan kekasih yang belum halal pujaan qalbu..

ada seorang pemuda yang ligat mencari akal,sanggup menunggu waktu untuk memecah rumah mengambil segala sesuatu..

ada kanak-kanak kecil,mereka girang menari dan berdansa di hadapan beribu..didedahkan dengan hiburan secara dahsyat hingga tak pernah tahu untuk apa hidup itu..

_____

dan saat itu,telah berlalu masa rehatku..

perjuangan perlu lebih hebat dari yang dulu..

perlu lebih berganda tekun menuntut ilmu..
perlu lebih dekat dengan alQuran setiap waktu..
perlu lebih hikmah dalam mendekati mad'u..

perlu lebih mujahadah dalam mencari cinta Tuhan Yang Satu..

_____

dan sedarlah,
telah berlalu masa rehatku dan dirimu..AllahuRabbi..




bicara elya : ya,telah berlalu masa rehatku dan dirimu..hingga diri bertemu dengan Rabbi yang dirindu..insyaAllah :')

Thursday, August 1, 2013

pak cik teksi itu.. (4)

Assalamualaikum wa salam mahabbah..

15/7/2013

malam itu,hati tak tenang..sekilas wajah ammu asyik terbayang..AllahuRabbi..

bagaimana keadaannya sekarang?juadah apa yang dibuat berbuka?kakinya masih sakitkah?macam mana dengan kutipan?sudah cukupkah untuk membayar rawatan?

mana mungkin mata mampu lena malam itu..tapi Allah Maha Tahu..insyaAllah Dia sentiasa menjaga ammu..doa ku panjatkan setakat yang termampu..

selesai sahur dan membelek beberapa helai buku,elya bersiap untuk ke jamiah (universiti)..jari terasa rajin benar untuk menekan simbol muka buku di handphone..bismiLlah..

"Berita semasa saudara baru

Alhamdulillah ! Alhamdulillah ! Alhamdulillah !

Setelah hampir sebulan lebih tidak mendapat berita, akhirnya bukan sahaja rindu dapat diluahkan, malah keinginan untuk memeluk agama yang hak disampaikan. Isteri dan 3 anaknya bakal menjadi keluarga kita. Ikatan ukhuwwah didasari agama Islam terbentuk tanpa sebarang paksaan pastinya taufiq dari tuhan.

Disebalik kesukaran dihadapi dan berkat kesabarannya, sebuah bilik di masjid Qaryah Idun diberi kebenaran dari pihak masjlis agama sebagai penempatan sementara, setelah pokok menjadi teduhan sekian lama. Hanya kalimah kesyukuran mampu ku ucapkan setelah 2 berita gembira disampaikan. Semoga berita ini mampu memberi semangat baru kepadanya untuk menghadapi hari mendatang. 

Mohon doakannya dan keluarga terlindung dari kejahatan mereka yang tidak bertanggungjawab."

AlhamduliLlah..ya,semuanya taufiq dari Tuhan..alhamduliLlah.. :')

Jumpa


kelas terakhir di blok PH,kami berbual sesama sendiri..masih ada sahabat yang menghulur sedikit bantuan kewangan untuk diserahkan untuk ammu..setiap nilaian itu hanya mampu dihitung arRahman..moga dengan ikhlas si pemberi,dilipatgandakan Tuhan..insyaAllah.. :)


"alhamdulliLlah,isteri dan anak-anak pak cik pun dah masuk Islam..pagi tadi baca post dekat group tu..ya Allah,tak tahu nak cakap macam mana lagi..alhamduliLlah,moga pak cik sekeluarga thabat.."



"ye ke?alhamduliLlah..lepas diuji,Allah anugerahkan hadiah terindah..family pun ikut sama ucap syahadah..teringin pulak nak jumpa.."

jumpa.
ya,dalam hati hanya Tuhan yang tahu keinginan untuk berjumpa..kalaupun tak punya kesempatan di dunia,harapnya diizinkan untuk bersua di syurga..insyaAllah..

awan petang itu..
Kos Rawatan

AlhamduliLlah,sahabat-sahabat tak pernah lokek menghulur bantuan..update kewangan hari tu,kutipan dah melebihi kos yang diperlukan..alhamduliLlah,sekurang-kurangnya boleh top up kos kehidupan ammu sekali..lantas ayat ni terbayang dalam fikiran,

"Dan (Dia lah) yang menyatu-padukan di antara hati mereka (yang beriman itu). Kalaulah engkau belanjakan segala (harta benda) yang ada di bumi, nescaya engkau tidak dapat juga menyatu-padukan di antara hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatu-padukan di antara (hati) mereka. Sesungguhnya Ia Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana." [alAnfal : 63]

tersenyum sendiri.. :)

balik rumah,beberapa notifications masuk..selesai uruskan apa yang patut,scroll down home..ditemukan lagi,

"sampaikan salamku pada seluruh rakyat malaysia, sungguh kehidupan Islam wujud disisi masyarakat melayu walaupun Islam diturun pada bangsaku terlebih dahulu "ujar namir al-nimri, saudara baru kita.


"sebenarnya kami sepatutnya berterima kasih pada kalian kerna disebabkan susah payah dan mujahadah datuk moyang kalian terdahulu, kami dapat menikmati keindahan agama mulia ini "jawapanku sampil sebuah senyuman dilontar padanya."

[perkongsian seorang senior yang menyerahkan duit bantuan pada ammu]

buat kesekian kalinya,alhamduliLlah.. :')

Kehidupan Islam


terharu dengan ayat ammu..benarlah,di sini rakyatnya sangat menghormati pelajar-pelajar malaysia..asyik diulang dengan ayat,'entu muhtaram,entu muhtaram'..awak orang yang dihormati..

kadang-kadang timbul rasa segan.

difikirkannya,kita sentiasa solat awal waktu berjemaah.
difikirkannya,semua rakyat malaysia menutup aurat sempurna.
difikirkannya,selalu kita menjaga ikhtilat dan tutur kata.

benarlah,bi'ah di sini mendidik..bahkan bicara mereka juga satu doa..tapi terfikir,bagaimanakah reaksi mereka andai kaki menjejak ke realiti bumi malaysia..melihat aurat muslimah terbuka sini sana,remaja bebas berkeliaran tanpa mengira masa..

Aduh!jiwa asyik gusar memikirkan masalah Ummah..apatah lagi masyarakat di tanah air sendiri..tatkala saudara-saudara lain sedang sibuk berperang nyawa demi agama,masyarakat kita bergaduh sesama saudara berebut harta..

AllahuRabbi..masih banyak tugas untuk diselesaikan..moga kata-kata mereka menjadi pemangkin semangat untuk kita membina khalifah dalam diri sendiri dan menyebarkan risalah Islami di setiap ceruk bumi..insyaAllah..

............

bersambung..

bicara elya : dah beberapa kali post ni tertunda..hingga hari ini membawa satu berita yang berat untuk diterima hati..Allah lebih menyayangi dia,sang penghuni syurga..moga terus dikuatkan jari jemari untuk menyampaikan kisah benar ammu,yang benar-benar memberi kesan dalam qalbu..moga Allah redha..insyaAllah..

Saturday, July 20, 2013

pak cik teksi itu.. (3)

Assalamualaikum..

14/7/2013

AlhamduliLlah, 4 Ramadhan di bumi anbiya'..terasa angin barokah, lain benar rasa nyamannya..subhanaLlah..

balik kelas, membelek muka buku..air mata tumpah..

"(DERMA KILAT DIPERLUKAN ... MARI BANTU SAUDARA MUSLIM KITA)


Dilahir dalam keluarga Nimri, Keluarga dikenali di Jordan yang menjadikan Kristian sebagai agama turun temurun. Setelah 5 bulan niat menyahut seruan ilahi , akhirnya 2 syahadah , kalimah yang menjadi paksi oarang beriman diucap di depan pelajar melayu. Solat terus diajar, puasa dalam proses pembelajaraan. Semangat terhadap islam tulus dari hati kecil, tak perlu pendebatan yang panjang, menjadikan mereka yang melihat kelu terharu menusuk kalbu.

Bukan sekadar dihalau dari rumah , malah ditikam oleh ayah dan abang sendiri. Kehidupan semakin sukar apabila kaki kiri langsung lemah akibat 3 tikaman .Teduhan pokok menjadi rumah sementara, roti kosong sebagai juadah harian, taxi yang menjadi sumber rezeki ditarik majikan akibat tidak dapat meneruskan pekerjaan.
Dulu dikenali pemandu mesra kini muram ,hanya Tuhan sahaja mengetahui betapa beratnya ujian dihadapi. Namun , tenang dan redha dengan apa yang berlaku pada diri .

Kaki kiri perlu rawatan segera, temu janji pembedahan di King Abdullah University Hospital(KAUH) telah dibuat, 17-7-2013 menjadi titik penentuan samada diteruskan atau dibatal, JD XXX diperlukan segera agar kesakitan yang dialami mendapat rawatan. Hanya kasih tulus ikhlas dari ikhwah seislam mungkin boleh menjadi asbab hidayah dan semangat terhadapt golongan ini. Walaupun sedikit pun tidak diminta olehnya tapi ia inisiatif dari kami, untuk saudara baru kita yang dikasihi." [status seorang ikhwan]

Ramadhan ammu


dua hari sebelumnya, sudah mendapat pengkhabaran mengenai ammu..katanya, ammu sedang sendiri..benar-benar sendiri menyambut Ramadhan..berbuka hanya sekadar air kosong dan cebisan roti..AllahuRabbi..betapa dirinya masih punya maruah yang tinggi..tidak meminta walau dalam keadaan yang sebegitu rupa..

zahir dirinya nampak makin susut..namun siapa tahu, mungkin hatinya sedang berbunga bahagia dengan anugerah Islam dan iman dalam hati..

sungguh,Allah yang mengatur segala..hikmahnya,kami bersatu dalam menyalurkan bantuan..tangan demi tangan tak putus menghulurkan..moga segala sumbangan berada dalam perhitunganNya..doa kami kirim..benarlah,Muslim itu bersaudara..cantik benar tarbiyyah agama..

saat itu,ada satu kekaguman yang luar biasa buat ammu..manakan tidak..seakan kisah kedatangan Islam di bumi Arab diulang tayang kembali..kerana kalimah 'AHAD', Bilal diseksa, Sumayyah gugur sebagai syahidah, ramai yang dipulau, dibunuh dan dilakukan seperti barang mainan (tiada ayat yang mampu menggambarkan dahsyatnya suasana waktu itu)..

saudara-saudara di Syria, Palestin dan seluruh ceruk dunia yang ditindas juga sedang berjuang..biar nyawa berpisah dari jasad, asal tauhid dan keimanan dipertahankan..

sedang kita sekarang, lalai dengan permainan dunia yang melekakan..

malu.

sungguh.
malu.

AstaghfiruLlah 3x..
..................

bersambung..


bicara elya : people are dying for the Deen, yet what am i doing?AllahuRabbi..

Tuesday, July 16, 2013

pak cik teksi itu.. (2)

Assalamualaikum wa salam mahabbah..

29/4/2013

"Allah lah yang merancang segala yang berlaku..Dia juga yang merancang untuk diadakan bengkel itu,mendaftarkan diriku untuk menuntut ilmu,dimulakan pada malam itu,habis pada waktu itu,dipilih teksi itu..bulan penuh menjadi saksi akan perancanganNya yang penuh cinta..

saat mengetahui lafaz syahadah terukir pada bicara ammu(pak cik teksi) itu,air mata mana yang tak tertumpah..hidayah Allah itu indah..manusia hanya wasilah..kepada Allah segalanya terserah..dan kini ammu memeluk Islam dengan takdir Ilah..alhamduliLlah.. :')

masih segar dalam ingatan seraut wajahnya yang benar-benar terpaut hatinya pada Islam..moga ditarik nyawanya dan kita semua dalam keadaan beriman..insyaAllah..

-berdoalah..hidayah itu milik Tuhan..yakinlah!bahawa Allah sentiasa merancang dengan penuh cinta..yang pasti membawa bahagia pada hamba2Nya..pasti!

subhanaLlah,alhamduliLlah,AllahuAkbar.. :) "


status elya malam itu..

______

sebelumnya,,

sedang berada dalam kelas, tiba-tiba teringatkan pak cik teksi itu..AllahuRabbi..terfikir,apa yang sedang dibuat,apa yang sedang bermain dalam jiwanya..lantas dicoret dalam buku catatan,

'pak cik,moga cepat-cepat bertemu hidayah ye.. :) '

entah,terasa hati begitu diusik dengan ammu itu..

selang 10 minit, muallim membuka cerita..perihal seorang ammu yang masuk Islam..datang dari keluarga yang kuat agama Kristiannya..yang bersungguh-sungguh belajar tentang solat..yang ingin dibimbing untuk mengenal siapa Penciptanya..yang dipermudahkan untuk menghafal alFatihah..

terharu, ammu itu mengucap kalimah mulia itu di hadapan muallim..bagi ammu, dia lebih selesa dengan bangsa lain..mungkin malu, atau ammu punya tiada tempat untuk mengadu dalam kalangan bangsanya sendiri..

bila dipanjangkan cerita oleh muallim, yakinlah elya..pak cik teksi itu..dialah yang sedang dikisahkan muallim..hati mana yang tak berbunga..Ummat Islam bertambah, selepas dilimpahkan hidayah..mengharapkan Ummah lebih gagah..sedang ammu, pernah hadir dalam hidup elya dengan perancangan Ilah..

"Siapa yang dikehendaki Allah akan mendapat hidayah (petunjuk), Dia akan membukakan dadanya untuk (menerima) Islam. Dan barangsiapa yang dikehendaki-Nya menjadi sesat, Dia jadikan dadanya sempit dan sesak, seakan-akan dia (sedang) mendaki ke langit......."
[Al-An'am : 125]

bersambung..

bicara elya : hati menangis..ujian untuk ammpu bertimpa-timpa..moga dipermudahkan urusannya dan setiap insan yang hadir untuk menolongnya..Allahumma Ameen..

Sunday, July 14, 2013

pak cik teksi itu.. (1)

Assalamualaikum wa salam mahabbah..

25/4/2012

pukul 10 lebih,selesai sembang santai bengkel penulisan malam tu..sekadar ta'aruf pada dunia penulisan secara umumnya..

"asifah (maaf), ana tak boleh tidur kut rumah nti malam ni..ada akak ajak tidur rumah dia..ana dah janji dengan akak tu dulu..asifah deh,insyaAllah malam esok k.. :) "

"ok lah..balik elok-elok..dah malam ni..insyaAllah esok kita jumpa lagi dekat bengkel penulisan tu..jangan lupa datang rumah ana dulu!gerak sama-sama k..jaga diri..."

"insyaAllah kheir,nanti naik teksi jugak..nti pun jagadiri..jumpa esok insyaAllah.."

perlahan muraqib mengikut langkah dari belakang..menuju ke jalan besar untuk menahan  teksi..

tersenyum ammu (pak cik) teksi memberhentikan teksinya..cepat-cepat kami masuk ke dalam teksi..masih panjang barisan kereta lain menunggu di belakang..

"ya ammu,insyaAllah ila ABC.."
"ABC,aiwah.." balas ammu..

sepi.

"entu muslim?" tanya ammu memecahkan kesunyian..
"na'am,ihna muslim.."

('kamu muslim?' 'ya,kami muslim')

"dah tahun berapa?"
"tahun 1.." pertanyaan dijawab muraqib..

"macam mana Ramadhan di sini?" tanya lagi ammu..

elya hanya senyap di belakang..lebih tepat, tersenyap..
'eh,kenapa tanya kami pulak?rakyat asing yang baru musafir menuntut ilmu..mesti ammu ni lagi tahu..'

"muslim ni bagus..kamu bagus.."
"alhamduliLlah,insyaAllah.."

"agama kami penipu!penipu!" suara ammu diangkat..

masing-masing kaget..agama siapa yang tipu ni?

"Islam bagus,Islam bagus..Tuhan hanya ada satu..mana mungkin Nabi Isa tu anak tuhan.."

suaranya mula reda..butir bicara itu membuatkan kami lebih faham..ammu itu rupanya Kristian..sepanjang jalan itu, asyik memuji-muji Islam..dan sepanjang perjalanan itu jugalah kami menutur doa buat ammu kepada Tuhan,moga hidayah kepadanya dicepatkan..

"insyaAllah,saya bercadang nak masuk Islam Ramadhan nanti.."


Bulan hampir mengambang menjadi saksi perancangan cinta dari Tuhan
terharu..semangat benar saat ammu itu menyatakan hasrat..terasa satu jiiwa suci sedang ingin kembali kepada fitrah insani..bertuhankan hanya kepada Ilahi..

bertambah lagi doa kami buat ammu itu..

sampai ke tempat yang dituju,ternampak akak sedang menunggu seberang jalan..bertemankan seseorang..kami keluar dari teksi..menghulur wang tambang..kemudian ammu pun menanyakan nombor si muraqib..selesai berbalas nombor,masing-masing pulang..

"assalamualaikum akak..maaf lambat sikit..huhu.."
"waalaikummussalam..owh,ok je..ni kawan awak teman akak..hehe.."

"akak,nak cerita ni..tadi terharu sangat naik teksi tu..pak cik tu cakap nak masuk Islam bulan puasa nanti..mohon doa dari akak dan sahabat-sahabat supaya dipercepatkan..takut-takut tak sempat sampai Ramadhan nanti.."
"oh,ye ke.."

............................

bersambung..


bicara elya : kisah benar..mohon doa sahabat-sahabat supaya ammu itu kuat..sekarang dalam ujian yang berat,kerana Allah tahu ammu itu kuat..insyaAllah..

Thursday, July 11, 2013

10 minit itu..

"abang,saya dapat tawaran untuk sambung as specialist O&G (pakar sakit puan)..pihak universiti yang akan taja..jadi saya nak tanya, abang izinkan saya untuk sambung belajar?"

lembut pertanyaan si isteri pada sang suami..keputusan besar..bukan mudah seorang suami yang bergelar ustaz ingin melepaskan isteri bekerjaya doktor untuk sambung belajar..usahkan bergelar pakar, mempunyai title 'Doktor' pun susah untuk melapangkan masa di rumah..

sepi.
diam suami selama 10 minit.

10 minit paling lama terasa dalam hidup si isteri..
sempat sahaja waktu yang seakan berhenti itu membuatkan air mata jernih mengalir di pipi.

"insyaAllah,abang izinkan.."

bercampur tekejut dan teruja,
"betul ke ni abang?pakar sakit puan berat kerjanya..besar pengorbanan yang dituntut..tapi inilah syiar untuk doktor muslimah sekarang..10 minit abang fikir..apa sebenarnya yang difikirkan?"

jawapan yang cukup untuk mengukir senyuman bahagia pada wajah sang isteri,

"tadi cari alasan untuk tak benarkan..tapi tak jumpa jawapan nak beri pada Allah nanti kalau ditanya kenapa tak benarkan.."

***

di sana, akan ada perhitungan

kisah benar yang dikongsi oleh seorang ukhti, banyak makna buat diri..

first,moga-moga dipermudah jalan elya untuk menjadi pakar sakit puan. Bukan senang, tapi itulah impian yang dipasang. Andai benar itu jalan terbaik yang diredhaiNya. mohon doa ye,insyaAllah.. :)

Memandang hari sana 

yang paling terkesan sebenarnya jawapan si suami tu..inilah yang benar-benar dikatakan 'berfikir sebelum berkata-kata'..

yang menariknya, si suami berfikir bukan setakat melihat pada keupayaan diri dan sebagainya..yang difikirkan adalah jawapannya di mahkamah mahsyar nanti..

'kalau aku kata ya, Allah redha tak?kalau aku kata tak, kenapa?jawapan apa nak beri dekat akhirat sana?'

kita juga perlu fikir dalam zikir untuk setiap laku dan bicara ,kerana setiap perkara itu akan dipersoalkan..

 Rasulullah S.A.W bersabda : "Dua kaki seorang hamba tidak akan berganjak pada hari kiamat hingga dia ditanyakan tentang empat perkara : masa mudanya untuk apa dia gunakan, umurnya dalam apa dia habiskan, hartanya dari mana dia dapatkan dan untuk apa dia infaqkan serta tentang ilmunya apa yang dia lakukan dengannya."
(HR. Ath-Thabrani)

bicara elya : moga Allah permudah..insyaAllah.. :)

Sunday, July 7, 2013

alQuran dan Ramadhan :)

kita ini sebaik-baik manusia,
kerana diberikan sebaik-baik panduan,
alQuran..

Malam Ramadhan itu mulia,
kerana di dalamnya diturunkan kitab petunjuk seluruh alam,
alQuran..

kenapa kita masih memgambil ringan dengan kalam cintaNya..tanyakan kembali,
'alQuran,di mana di hati kita?'


bicara elya : makin mendekat dengan Ramadhan,moga makin mendekat juga kita dengan alQuran..dan semakin dekat dengan redha Tuhan..insyaAllah.. :)

Thursday, July 4, 2013

Alkisah seorang manusia 'tak guna'

Alkisah seorang manusia ‘tak guna’

"Ustaz, ana rasa ana tak guna. Apa pun tak tahu… tak tahu datang dunia ini buat apa,” kata seorang pemuda di kampung….

“Apa kerja enta?” tanya ustaz tersebut…

“Malu nak cerita… tapi kerja yang hina, tak perlu guna otak, tak ada skil, rezeki kais pagi makan petang je…” jawab pemuda itu…

Melihat pemuda itu yang hilang semangat terhadap hidup dan kerjanya… ustaz... tersebut menyuruh pemuda tersebut mengikutnya untuk berjalan di sekitar kampung….

Sambil berjalan, ustaz tersebut pun bercerita…

“Lihat matahari di atas… Allah pastikannya timbul tiap subuh dan terbenam setiap senja. Dalam tempoh tersebut, manusia kadang-kala merungut berkata panas, kulit sakit….

Tapi rumput-rumput di bawah ini – tak merungut… mereka perlukan cahaya untuk membuat makanan daripada apa yang diserap daripada tanah….

Mengapa rumput perlu buat makanan?

Kalau tak, daun dia tak tumbuh, lembu-lembu dan kambing-kambing akan kelaparan….

Bila lembu-lembu kelaparan, manusia hilang sumber protein lak pulak…

Allah tak cipta semua benda hidup boleh guna cahaya matahari dengan terus… cahaya matahari sumber tenaga universal… lepas itu Allah cipta benda hidup yang boleh menggunakan cahaya matahari untuk membuat makanan sendiri… seperti rumput.

Lepas itu, Allah mencipta benda hidup yang boleh memanfaatkan makanan yang dibina rumput… seperti lembu dan kambing…

Dalam lembu dan kambing ini, Allah wujudkan sistem, makan rumput, dapat bina daging, susu dan juga hasilnya najis….

Manusia pula menggunakan lembu dan kambing sebagai sumber makanan. Manusia tak makan rumput… manusia tak dapat guna cahaya matahari untuk hasilkan makanan daripada badan sendiri… Allah ciptakan setiap satu dengan peranan yang unik….

Faham tak cerita yang ustaz nak sampaikan?”

Pemuda itu melihat pada ustaznya, “Maksud ustaz ialah setiap perkara yang Allah letak di alam ini ada tujuannya dan tidak sia-sia….”

Ustaz itu tersenyum, “Jadi apa kerja enta?”

Pemuda itu tersenyum lalu memberitahu ustaz tersebut dia perlu beredar kerana banyak kerja yang Allah tinggal untuk dia belum siap.

Sebelum beredar, pemuda itu memeluk ustaz tersebut… ustaz tersebut membisik padanya, “Mungkin masa ini anta tak tahu apa tujuannya… tapi percayalah Allah tidak akan utuskan enta buat kerja sia-sia… asalkan enta rajin dan bertaqwa, Allah akan membuka jawapannya…”

Akhirnya, pemuda tersebut berubah dari seorang pengutip najis binatang ternakan menjadi pengeluar baja terkemuka di kampungnya…

Dapat isi tersirat?

Senyum.
 
bicara elya : memang Dato' Tuan Ibrahim bin Tuan Man selalu berjaya membuat elya tersenyum untuk setiap bait bicaranya..senyum lagi.. :)

Tuesday, July 2, 2013

jangan menyerah! :)

Assalamualaikum wa salam mahabbah..

pernah rasa tak lemah semangat?
putus asa bila tiada siapa-siapa di sisi?
tertekan setiap waktu dan saat?
hingga kadang-kadang merasakan,'lebih baik aku mati!' ?

astaghfiruLlah..


"Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?.." [alAnkabut : 2]

mana mungkin kita melihat sang rama-rama indah terbang bebas sana sini, andai dirinya tak kuat berjuang untuk keluar dari kepompong..
manakan terhasil berlian permata yang cantiknya bernilai jutaan, andai ia tak kuat menahan segala tekanan tanah keatasnya..

ya, kerana bersabar atas ujian itu akan menghasilkan sesuatu yang luar biasa indah..itulah ujian,tanda sayang dari Tuhan..benar,bibir mudah mengukir kata,jari laju menaip bicara..tapi yang sakit,perit dan pedih, hanya jiwa yang merasa..

namun yakinlah,Allah membeli jiwa kita dengan sesuatu yang lebih besar harganya..Syurga dan redhaNya..apa lagi yang kita mahu?sabar di dunia itu lebih ringan dari bersabar meghadap azabnya di akhirat sana..dan bukanlah sabar namanya andai ada batasan..kan? :)

bukan senang..
bukan senang..

tapi bila pergantungan kita betul-betul hanya pada Allah,insyaAllah ada jalan keluar..insyaAllah ada rasa tenang..mohonlah sesungguhnya dengan arRahman..

sungguh,kehidupan seorang pejuang itu takkan dihamparkan karpet merah..apatah lagi ada bunga-bunga mawar yang menghiasai diiringi anak-anak kecil yang comel-comel berlari..oh,jauh sekali..jauh..

kehidupan itu ada masam manisnya..pahit getirnya..ada orang diuji dengan ukhwah,ada yang dicaci dalam dakwah..ada yang bermasalah dalam keluarga mewah..tak kurang dengan ibu bapa yang sangat-sangat susah..sebagai pelajar,memang akan diuji dengan markah..dan 'abid,pasti teruji dengan mujahadah..

tanyalah siapa sahaja,pasti ada masalah yang sedang dihadapi..tapi apa yang membezakan, cara kita kendalikan cabaran dan ujian itu..

sabar dan syukur.

atau,

lemah dan tersungkur.

AllahuRabbi..

duhai sahabat sayang,jangan berhenti selagi kedua-dua kaki kita belum menjejak ke syurgawi..jangan!andai jatuh,tarik nafas sebantar,kumpul kekuatan dan terus pecut!ya,pecut dengan penuh pengharapan pada Allah bahwa kita akan sampai pada matlamat kita dengan jayanya..saat manis itu,saat yang sangat indah..yakinlah..

duhai pemuda dan bidadari yang dirindukan syurga, kalam cintanya berkata-kata,

"Dan Kami pasti menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa, dan buah-buahan. Dan sampailkanlah kabar gembira kepada orang-orang yang sabar..” [Al-Baqarah : 155]

moga kitalah yang memperoleh khabar gembira itu..andai kita sabar..insyaAllah.. :')

bicara elya : jangan pernah menyerah..senyum dan terus berharap pada Ilah..insyaAllah.. :)